Perbincangan
mengenai isu perkahwinan dalam konteks masa kini lazimnya akan mengundang
pelbagai pendapat dan pandangan yang berbeza.
Ketika ramai anak
muda memilih menamatkan zaman bujang dengan menikahi pasangan masing-masing,
tidak kurang juga sebilangan besar golongan itu yang memilih untuk bersendirian
- enggan mempunyai komitmen rumah tangga.
Jika mahu disenaraikan, ada banyak alasan yang sering diberikan orang
bujang jika ditanya mengapa gentar untuk memikul tanggungjawab sebagai suami
atau isteri.
Lazimnya, alasan
yang sangat popular ialah faktor ekonomi yang belum stabil.
Namun begitu,
terdapat juga faktor lain yang menjadi penyumbang kepada sebab kenapa golongan
muda memilih untuk tidak berkahwin.
Menurut Profesor
Jabatan Psikologi dan Kaunseling UPSI, Prof Dr Mohd Aziz, selain daripada faktor
peribadi atau memikirkan soal ekonomi yang semakin mencabar, antara sebab
mereka memilih untuk hidup tanpa pasangan adalah disebabkan trauma yang pernah
dialami oleh keluarga dan rakan terdekat.
Beliau berkata,
pengalaman kegagalan orang terdekat dalam perkahwinan menyebabkan segelintir
anak muda gentar hal itu berlaku pada mereka.
"Ada orang tak
nak berkahwin (sebab) ada unsur fobia, trauma, melihat ibu bapanya cerai,
suadara mara hubungan tak harmoni ini menyebabkan dia takut untuk berkawin.
"Mereka tidak
mahu berkahwin, kerana takut keluarga yang dibina akan menjadi sebegitu akibat
daripada fobia dan traumatik menyebabkan mereka tidak boleh jalinkan hubungan
yang baik kearah perkahwinan," katanya dalam wawancara bersama program AWANI
Pagi, hari ini.
Namun, kata Prof
Aziz, atau lebih dikenali sebagai Pros Mas Positive di laman media sosialnya,
mereka yang terdedah kepada keadaan ini boleh mendapatkan rawatan psikologi
melalui kaunseling dan terapi.
Tambahnya lagi,
keluarga dan rakan terdekat juga dinasihatkan supaya tidak memberi tekanan
kepada mereka yang masih membujang kerana setiap orang mempunyai jalan hidup
yang berbeza.
"Jika ditanya
soalan sama berulang kali, ia akan menyebabkan keadaan tidak selesa lalu akan
menjauhkan diri dari keadaan daripada ibu bapa ataupun keluarga,
"Kita hanya
perlu beri sokongan dengan memahami situasi itu, bukan dia tidak mahu kahwin
tetapi belum masanya lagi," tambahnya.
Justeru, nasihat
beliau kepada mereka yang masih bujang, supaya sentiasa mencari kebahagiaan
melalui apa sahaja cara.
Jika perkahwinan
adalah salah satu jalannya, mereka perlu bersandar pada realiti dalam mencari
pasangan dan tidak terlalu terpengaruh dengan situasi pasangan lain yang
dipaparkan di media sosial.
"Media sosial
turut memainkan peranan, kebahagiaan yang sering dipaparkan hanyalah 'drama'
dan 'filem'.
sumber: AWANI
0 Comments
Terima kasih