Polis Selangor menahan seorang lelaki tempatan semalam dipercayai memuat naik rakaman video di akaun Instagramnya yang memaparkan ketidakpuasan hati terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan proses pemilihan Perdana Menteri ke-10.
Ketua Polis
Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, suspek ditahan, selepas pihaknya
bertindak atas satu laporan polis dibuat seorang individu warga tempatan di Ibu
Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada 10.52 malam Isnin lepas berkaitan rakaman
video berdurasi 15 saat, yang dipercayai dimuat naik oleh suspek.
Hasil penelitian video tersebut menyatakan ketidakpuasan hati pemilik akaun Instagram terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam proses pemilihan Perdana Menteri.
"Video itu
turut melabelkan salah satu kaum di negara ini sebagai korupsi serta menghasut
orang ramai untuk membuat demonstrasi bagi membantah kuasa Yang di-Pertuan
Agong dalam pemilihan calon Perdana Menteri," katanya menerusi kenyataan
hari ini.
Arjunaidi berkata,
berdasarkan hasil risikan dan maklumat yang diterima, sepasukan polis daripada
Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah menyerbu
sebuah rumah di sekitar Kajang pada 10.30 malam, semalam.
"Menerusi
serbuan tersebut, pihak polis telah berjaya menahan seorang lelaki tempatan
berusia 35 tahun yang dipercayai merupakan pemilik akaun Instagram dan kita
telah mendapat perintah tahanan reman selama tiga hari mulai hari ini hingga 25
Nov terhadap suspek daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
"Kes disiasat
mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan
Multimedia 1998," katanya.
Arjunaidi turut
menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang dan menghayati
serta menghormati prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara demi mengekalkan
keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
"Kita turut menegaskan bahawa tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati cuba mengganggu gugat ketenteraman dan keselamatan negara. Mereka yang didapati berbuat demikian akan diambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan," katanya.
sumber: BERNAMA
0 Comments
Terima kasih