Ringgit meneruskan momentum positifnya pagi ini, meningkat sebanyak 0.38 peratus berbanding dolar AS pada sesi pembukaan urus niaga, sekali gus mencerminkan sentimen menggalakkan selepas kemelut politik semasa di dalam negara selesai.
Selain itu, pasaran
turut mengambil petunjuk daripada isyarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat
mengenai penurunan dalam kenaikan kadar.
Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan terus menambah nilai kepada 4.4760/4810 berbanding dolar AS daripada penutupan Khamis pada 4.4910/5000.
Pengarah Urusan SPI
Asset Management Stephen Innes berkata pergerakan aktif dalam pasaran saham
Malaysia berikutan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri
Malaysia ke-10, turut membantu ringgit untuk menarik pelabur asing.
Pengerusi Pakatan
Harapan itu mengangkat sumpah sebagai perdana menteri di Istana Negara semalam.
"Bagaimanapun,
pemacu sentimen utama pada masa hadapan ialah kenaikan kadar faedah yang lebih
perlahan seperti yang terkandung dalam minit Jawatankuasa Pasaran Terbuka
Persekutuan (FOMC)," katanya kepada Bernama.
Namun begitu,
pasaran dijangka lengang kerana AS akan meraikan cuti Hari Kesyukuran pada
hujung minggu ini.
Sementara itu,
ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama yang
lain.
Nilai ringgit
meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2522/2561 daripada 3.2678/2749
pada penutup Khamis dan tinggi berbanding euro pada 4.6573/6625 daripada
4.6792/6886 sebelumnya.
Ringgit turut
menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.4169/4229 daripada 5.4305/4414
dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2199/2237 daripada 3.2412/2479
semalam.
Sumber: BERNAMA
0 Comments
Terima kasih