Purata tambang penerbangan domestik sehala sepanjang tempoh Pilihan Raya
Umum Ke-15 (PRU15), yang beroperasi pada tarikh 16 hingga 20 November ini
menunjukkan penurunan.
Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim, berkata
pemerhatian terkini suruhanjaya itu pada 25 Oktober lalu menunjukkan kebanyakan
tambang penerbangan sepanjang tempoh perjalanan PRU15 menyusut selepas lonjakan
awal berikutan pengumuman tarikh PRU15.
Beliau berkata, ia merentasi semua syarikat penerbangan bagi laluan
udara dalam Semenanjung ialah RM185.
Katanya, purata tambang penerbangan bagi laluan udara dalam Malaysia
Timur pula ialah RM188 dan manakala RM296 bagi laluan udara antara Semenanjung
dan Malaysia Timur.
DISYORKAN UNTUK ANDA
Syarikat penerbangan juga memperkenalkan promosi dan melancarkan diskaun
bagi tambang penerbangan untuk memudahkan pengguna. Terdapat juga skim diskaun
sedia ada yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan khusus untuk pelajar dan
ini dapat membantu pengundi muda balik mengundi.
Industri penerbangan menunjukkan sokongan bagi memudahkan pengundi
menunaikan kewajipan mereka tanpa beban tambang penerbangan yang tinggi, katanya
dalam kenyataan media, hari ini.
Analisis MAVCOM turut menunjukkan terdapat beberapa laluan udara sehala
yang mempunyai tambang melebihi harga purata.
Berikutan itu, katanya, suruhanjaya menggesa syarikat penerbangan
menambah lebih banyak kapasiti di laluan terbabit memandangkan permintaan yang
tinggi sepanjang tempoh PRU15.
Saripuddin berkata, MAVCOM juga meminta syarikat penerbangan menambah
kapasiti bagi laluan udara yang beroperasi semasa tempoh tarikh perjalanan
penerbangan PRU15 bagi memastikan sejumlah penerbangan tersedia ke pelbagai
destinasi domestik pada harga yang berpatutan.
"Sebagai pengawal selia ekonomi dan komersial bagi industri
penerbangan, suruhanjaya komited untuk meluluskan semua permohonan laluan bagi
tujuan PRU15 dan dalam melaksanakan mandat yang diberikan kepada suruhanjaya
untuk kepentingan negara.
"Berdasarkan data yang dikemukakan kepada MAVCOM, semua syarikat
penerbangan tempatan sudah membuat perancangan untuk menambah penerbangan
sempena PRU15 mulai November 2022 menggunakan sumber yang sedia ada.
"Penerbangan tambahan yang dirancang termasuk 45 penerbangan dari
Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ke lokasi-lokasi terpilih di
Semenanjung," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 30 penerbangan tambahan dirancang ke destinasi
terpilih di Semenanjung khusus bagi penerbangan yang beroperasi dari Subang
manakala sebanyak 68 penerbangan tambahan dirancang untuk penerbangan antara
Semenanjung dan Malaysia Timur.
Katanya, Malaysia Airlines turut mengatur pelan untuk meningkatkan
kapasiti ke destinasi utama di Semenanjung dan Malaysia Timur menggunakan
pesawat Airbus A330 (wide-body) bagi menampung permintaan yang tinggi semasa
tempoh perjalanan PRU15.
Saripuddin berkata, selain itu, terdapat penerbangan tambahan yang
dirancang ke destinasi terpilih di Malaysia Timur bawah program Perkhidmatan
Udara Luar Bandar, serta lima penerbangan tambahan yang dirancang antara Subang
dan Seletar di Singapura.
"MAVCOM mengalu-alukan pelan tindakan ini oleh syarikat penerbangan. Penambahan kapasiti yang dirancang mungkin berubah menghampiri tarikh pilihan raya bergantung kepada sebab operasi dan permintaan pasaran keseluruhan.
"Bagaimanapun, suruhanjaya akan memantau perkembangan industri
dengan teliti untuk memastikan penerbangan ditawarkan pada harga yang
berpatutan dan adalah mencukupi serta tersedia bagi memenuhi permintaan
penerbangan bagi PRU15," katanya.
0 Comments
Terima kasih