Perkembangan kes kematian akibat rempuhan di Stadium Kanjuruhan di Malang, Jawa Timur, meningkat kepada 174 mangsa, menurut Ketua Polis Jawa TImur, Nico Afinta.
Selepas penyokong kepada pasukan tuan rumah yang kalah
meluru ke padang, pasukan keselamatan melepaskan tembakan gas pemedih mata
untuk menyuraikan mereka.
Ia menyebabkan ada individu yang dipijak dan sesak nafas.
Timbalan Gabenor Jawa Timur Emil Dardak memberitahu Kompas
TV bahawa lebih 100 orang dilaporkan cedera dan mereka dirawat di lapan
hospital,
Satu video yang dikongsi di media sosial menunjukkan
peminat, memakai pakaian berwarna merah dan biru menyerbu padang selepas
pasukan Arema FC tewas 3-2 kepada Persebaya Surabaya, dan bertempur dengan
pasukan keselamatan.
Menteri Sukan Zainudin Amali berkata, pihak berkuasa akan
menilai semula keselamatan pada perlawanan bola sepak dan mempertimbang untuk
tidak membenarkan penonton pada perlawanan selepas insiden berkenaan.
Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) sudah menunda
perlawanan yang dijadualkan pada minggu depan kerana insiden itu, dan
mengharamkan Arema FC daripada menjadi tuan rumah untuk sepanjang musim ini.
Dalam pada itu, Menteri Penyelaras untuk Politik, Undang-Undang
dan Hal Ehwal Keselamatan, Mohammad Mahfud Mahmodin berkata: "Saya perlu
tegaskan bahawa tragedi ini bukan pertempuran antara penyokong Persebaya dan
Arema. Ini kerana penyokong Persebaya tidak dibenarkan untuk menonton
perlawanan berkenaan."
0 Comments
Terima kasih