Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.
Perkara itu
diumumkan Perdana Menteri pada Perutusan Khas yang disiarkan dari bangunan
Perdana Putra, Putrajaya pukul 3 petang Isnin.
Ismail berkata beliau sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada tengah hari Ahad bagi mendapatkan perkenan pembubaran Parlimen.
BACA JUGA
"Dengan ini,
saya mengesyorkan Ketua-ketua kerajaan negeri kecuali kerajaan negeri Sabah,
Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya, bagi
membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama
dengan PRU peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan
untuk tidak membubarkan DUN masing-masing," katanya di sini, pada Isnin.
Beliau berkata,
langkah itu wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban,
selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.
Sementara itu,
katanya, penetapan tarikh-tarikh hari penamaan calon, dan hari mengundi serta
urusan-urusan lain yang berkaitan, adalah tertakluk kepada keputusan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau memberitahu,
dengan pengumuman itu, mandat akan dipulangkan kepada rakyat.
"Mandat rakyat
adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan
kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15," ujarnya lagi.
Ismail Sabri
berkata, proses itu adalah berlandaskan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja
Berperlembagaan sebagai pasak pemerintahan, sejak negara mencapai kemerdekaan.
"Pembubaran
ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan
kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.
"Semoga rakyat
menggunakan kuasa yang ada pada mereka, untuk memilih kerajaan yang mampu
meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan
politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan
perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik," tambah
beliau.
Buat masa ini,
Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah berkecuali daripada mengadakan PRU kerana
sudah mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Sebelum ini,
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, tiga
negeri yang ditadbir PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak
akan membubarkan DUN jika PRU15 diadakan tahun ini.
Katanya, perkara
itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden.
PRU15 adalah yang
pertama di bawah kepemimpinan Ismail Sabri selepas mengambil alih jawatan
Perdana Menteri daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ogos tahun lalu.
Sejak PRU14, negara
berhadapan isu pergolakan politik sehingga berlaku pertukaran penyandang jawatan
Perdana Menteri sebanyak tiga kali dengan bilangan Ahli Parlimen yang melompat
parti mencecah lebih 40 individu.
0 Comments
Terima kasih