Ticker

6/recent/ticker-posts

Tidak Mahu Pulang Tangan Kosong ~ Datuk Ong Kim Swee



Hanya satu misi bagi pasukan SABAH FC apabila bertandang ke Kuala Terengganu Sabtu ini iaitu tidak mahu pulang ke Kota Kinabalu dengan tangan kosong.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, beliau mahu pemainnya berjuang sehingga keringat terakhir bagi memastikan mata dapat diraih apabila turun menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Di penghujung saingan dengan hanya tinggal beberapa perlawanan, apa sahaja mata yang dapat dipungut adalah penting dan kami tidak mahu pulang ke Sabah dengan tangan kosong selepas perlawanan dengan Terengganu.

"Di tempat sendiri, Terengganu FC mempunyai rekod sangat baik dan mereka sudah bermain bersama untuk jangka masa yang lama sebagai satu pasukan berbanding kami yang kebanyakan pemain baharu dikumpulkan untuk musim ini.

"Selain itu, mereka punya kekuatan yang seimbang di semua posisi, jadi pendekatan kami perlu berbeza dan apa yang penting kami kena fokus dengan corak taktikal yang kita akan gunakan.

"Tiada mana-mana pemain berdepan kecederaan dengan Gary Steven Robbat juga sudah kembali pulih manakala Dominic Tan yang baharu pulang bersama pasukan kebangsaan sudah mula menjalani latihan sejak Selasa," katanya.

Ketika ini Sabah berada di tangga kedua Liga Super dengan mengumpul 36 mata daripada 18 aksi yang sudah dilalui.

Dalam pada itu, Kim Swee mengakui tempoh rehat yang panjang ini digunakan sebaik mungkin bagi memperbaiki kelemahan terutama sering membiarkan lawan mendahului mereka terlebih dahulu dalam sesuatu perlawanan.

"Cuti yang panjang ini banyak perkara kami lakukan dan perkara paling saya kenal pasti adalah kami sering dibolosi dahulu dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

"Hanya semasa berdepan Sarawak, kami tidak dibolosi dan itu satu statistik yang amat membimbangkan saya, jadi segala kelemahan sudah dikenal pasti agar masalah tidak berulang.

"Kuncinya kini kami tidak boleh cepat terlalu panik dengan situasi sekarang dan hanya fokus kepada perancangan kita dari satu ke satu perlawanan," katanya.



 

 

Post a Comment

0 Comments