KUALA LUMPUR – Ahli
Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri
Zizie Izette Abdul Samad diperintah membela diri oleh Mahkamah Seksyen di sini
pada Jumaat daripada tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung
pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.
Hakim Rozina Ayob
membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan
kes prima facie terhadap Bung Moktar, 64, dan Zizie Izette, 44, di akhir kes
pendakwaan.
Pada
17 Mei lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi untuk
memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 2 Jan 2020 dan
pihak pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 24 Jun lepas.
Antara
saksi-saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas Menteri
Kewangan II Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, bekas Pengurus Besar Pelaburan
Felcra Adnan Yusof, Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felcra Dr Habibah Suleiman,
Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsharil
Saharom, serta dua ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid dan Norhaili
Ahmad Mokhtar.
Kes
itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Faridz Gohim Abdullah, Mohd
Sophian Zakaria dan Law Chin How manakala peguam M Athimulan mewakili Bung
Moktar serta peguam K Kumaraendran dan Ridha Abdah Subri bagi pihak Zizie
Izette.
Pada 3
Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga
pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan
untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public
Mutual Berhad.
Mengikut
pertuduhan pertama, Bung Moktar, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan
Eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan
iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul
Hamid melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Izette.
Dia
dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan
daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta
bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.
Kesalahan
itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No.
262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan
5 petang, 12 Jun 2015.
Bagi
pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya
suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi
melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816
yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.
Bung
Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu
wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili
Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor
044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.
Kedua-dua
kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28
tengah hari, pada 19 Jun 2015.
Pendakwaan
dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah
Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20
tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000
mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Zizie
Izette yang juga pelakon mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat
dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa
mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen
24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak
kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi,
jika sabit kesalahan.
Sumber:BERNAMA
0 Comments
Terima kasih